PENGENALAN KONSEP AS-SAM‘IYYAT

 1.6 PENGENALAN KONSEP AS-SAM‘IYYAT:

Akal manusia tidak mampu untuk menyelami hakikat alam ghaib. Atas dasar ini, perkataan Ghaibiyat disamaertikan dengan Samߵiyat, iaitu; perkara yang hanya boleh diketahui dengan cara mendengar.

Namun begitu orang beriman akan menyakini kewujudan semua perkara ghaib tanpa ragu‑ragu. Firman Allah ﷾;

ذَ ٰ⁠لِكَ ٱلۡكِتَـٰبُ لَا رَیۡبَۛ فِیهِۛ هُدࣰى لِّلۡمُتَّقِینَ ٢ ٱلَّذِینَ یُؤۡمِنُونَ بِٱلۡغَیۡبِ وَیُقِیمُونَ ٱلصَّلَوٰةَ وَمِمَّا رَزَقۡنَـٰهُمۡ یُنفِقُونَ ٣

Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang ragu padanya; ia pula menjadi petunjuk bagi orang‑orang yang bertaqwa; [2] Iaitu orang‑orang yang beriman kepada perkara‑perkara yang ghaib, dan mendirikan sembahyang serta membelanjakan sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada mereka. [3] [Surah Al‑Baqarah: 2-3]

Maksud Samߵiyyat ialah; Sesuatu yang tidak dapat diketahui menerusi pancaindera ataupun akal, kecuali melalui perkhabaran yang benar daripada Rasulullah ﷺ.

Alam barzakh

Barzakh dari segi bahasa bermaksud; dinding, benteng, sempadan. Firman Allah ﷾;

بَیۡنَهُمَا بَرۡزَخࣱ لَّا یَبۡغِیَانِ

Di antara keduanya ada penyekat yang memisahkan, masing‑masing tidak melampaui sempadannya. [Surah Ar-Raḥmān: 20]

Barzakh dari segi istilah pula ialah; Penghadang antara dunia dan akhirat, iaitu alam kubur. Firman Allah ﷾;

لَعَلِّیۤ أَعۡمَلُ صَـٰلِحࣰا فِیمَا تَرَكۡتُۚ كَلَّاۤۚ إِنَّهَا كَلِمَةٌ هُوَ قَاۤىِٕلُهَاۖ وَمِن وَرَاۤىِٕهِم بَرۡزَخٌ إِلَىٰ یَوۡمِ یُبۡعَثُونَ

"Supaya aku mengerjakan amal-amal yang soleh dalam perkara-perkara yang telah aku tinggalkan". Tidak! Masakan dapat? Sesungguhnya perkataannya itu hanyalah kata-kata yang ia sahaja yang mengatakannya, sedang di hadapan mereka ada alam barzakh (yang mereka tinggal tetap padanya) hingga hari mereka dibangkitkan semula (pada hari kiamat). [Surah Al-Muʾminūn: 100]

Hari Kiamat

Ahli al‑Sunnah berkeyakinan bahawa Hari Kiamat pasti berlaku. Pendirian juga pegangan mereka berdasarkan dalil naqli dan akli. Antara dalil naqli mereka gunakan sebagaimana firman Allah:

إِنَّ ٱلسَّاعَةَ ءَاتِیَةٌ أَكَادُ أُخۡفِیهَا لِتُجۡزَىٰ كُلُّ نَفۡسِۭ بِمَا تَسۡعَىٰ

Terjemahan: Sesungguhnya hari Kiamat itu tetap akan datang ‑ yang Aku sengaja sembunyikan masa datangnya ‑ supaya tiap‑tiap diri dibalas akan apa yang ia usahakan. (Surah Ṭā‑Hā 20:15)

Antara lain, golongan Ahli al‑Sunnah berkeyakinan berlaku. Kiamat dengan dalil akal. Antaranya: Alam yang terdiri daripada langit, bumi, manusia dan segala ciptaan Allah adalah baharu.

Oleh itu, setiap yang baharu pasti akan binasa. Justeru, Hari Kiamat akan berlaku.

Hari Kiamat bermaksud: Hari berlakunya kemusnahan segala alam dan makhluk, seperti: Langit, bumi, bulan dan matahari akan hancur semuanya.

Erti kata lain, pada hari tersebut segala sistem, fitrah alam juga peraturannya akan rosak atau tidak berfungsi lagi.

Berkenaan tempoh dan masa berlaku Kiamat tidak diketahui oleh mana‑mana makhluk juga para malaikat, kecuali Allah sahaja. Hakikat tersebut sebagaimana dijelaskan di dalam Al‑Qur'an:

یَسۡـَٔلُونَكَ عَنِ ٱلسَّاعَةِ أَیَّانَ مُرۡسَىٰهَاۖ قُلۡ إِنَّمَا عِلۡمُهَا عِندَ رَبِّیۖ لَا یُجَلِّیهَا لِوَقۡتِهَاۤ إِلَّا هُوَۚ ثَقُلَتۡ فِی ٱلسَّمَـٰوَ ٰ⁠تِ وَٱلۡأَرۡضِۚ

لَا تَأۡتِیكُمۡ إِلَّا بَغۡتَةࣰۗ یَسۡـَٔلُونَكَ كَأَنَّكَ حَفِیٌّ عَنۡهَاۖ قُلۡ إِنَّمَا عِلۡمُهَا عِندَ ٱللَّهِ وَلَـٰكِنَّ أَكۡثَرَ ٱلنَّاسِ لَا یَعۡلَمُونَ ١٨٧

Terjemahan: Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) tentang hari kiamat: “Sesungguhnya pengetahuan mengenainya hanyalah ada di sisi Tuhanku, tidak ada sesiapa pun yang dapat menerangkan kedatangannya pada waktunya melainkan Dia. (Huru‑hara) hari kiamat itu amatlah berat (menggerunkan makhluk‑makhluk yang ada) di langit dan di bumi; ia tidak datang kepada kamu melainkan secara mengejut". Mereka bertanya kepadamu seolah‑olah engkau sedia mengetahuinya. Katakanlah: “Sesungguhnya pengetahuan mengenai hari kiamat itu adalah di sisi Allah, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui." (Surah Al‑Aʿrāf 7:187)

Beriman dengan Hari Kiamat merangkumi: Kebangkitan, Hisab, Mizan, Syurga dan Neraka. Berlakunya kiamat ketika manusia dalam keadaan leka, lalai serta tidak bersedia.

Antara lain, Kiamat berlaku dengan satu pekikan atau tiupan trompet malaikat Israfil.

Serentak dengan itu, semua makhluk yang hidup akan mati. Sebagaimana firman Allah:

مَا یَنظُرُونَ إِلَّا صَیۡحَةࣰ وَ ٰ⁠حِدَةࣰ تَأۡخُذُهُمۡ وَهُمۡ یَخِصِّمُونَ ٤٩

Terjemahan: Mereka tidak menunggu melainkan satu pekikan yang (dengan secara mengejut) akan membinasakan mereka semasa mereka dalam keadaan leka bertengkar (merundingkan urusan dunia masing‑masing). (Surah Yā‑Sīn 36:49)

Hari Kiamat diberikan dengan berbagai nama. Namun begitu, semua nama tersebut menjelaskan dan menggambarkan dahsyat dan hebatnya Hari Kiamat.

Sebahagian nama Hari Kiamat dan Hari Akhirat sebagaimana dinyatakan di dalam Al‑Qur'an, antaranya ialah:

al‑Qiyamah (القيامة). Sebagaimana firman Allah:

وَیَوۡمَ ٱلۡقِیَـٰمَةِ تَرَى ٱلَّذِینَ كَذَبُوا۟ عَلَى ٱللَّهِ وُجُوهُهُم مُّسۡوَدَّةٌۚ

Terjemahan: Dan pada hari Kiamat, engkau akan melihat orang‑orang yang berdusta terhadap Allah (dan yang menyatakan kesedihan itu) ‒ muka mereka hitam legam. (Surah al‑Zumar 39:60)

al‑Sā‘ah (الساعة). Sebagaimana firman Allah:

ٱقۡتَرَبَتِ ٱلسَّاعَةُ وَٱنشَقَّ ٱلۡقَمَرُ ١

Terjemahan: Telah hampir saat (kedatangan hari Kiamat dan terbelahlah bulan. (Surah al‑Qamar 54:1)

Hari Bangkit (يوم البعث). Sebagaimana firman Allah:

… فَهَـٰذَا یَوۡمُ ٱلۡبَعۡثِ وَلَـٰكِنَّكُمۡ كُنتُمۡ لَا تَعۡلَمُونَ ٥٦

Terjemahan: Maka inilah dia hari Kebangkitan (yang dijanjikan) itu, akan tetapi kamu dari dahulu lagi tidak mahu mengetahui (kebenarannya). (Surah Ar‑Rūm 30:56)

Hari Akhirat (يوم الآخرة). Sebagaimana firman Allah:

وَٱلۡـَٔاخِرَةُ خَیۡرࣱ وَأَبۡقَىٰۤ ١٧

Terjemahan: Pada hal kehidupan Akhirat lebih baik dan lebih kekal. (Surah Al‑Aʿlā 87:17)

Yaum al‑Hisab (يوم الحساب). Sebagaimana firman Allah:

… لَّا یُؤۡمِنُ بِیَوۡمِ ٱلۡحِسَابِ ٢٧

Terjemahan: Yang tidak beriman kepada hari Hitungan amal. (Surah Ghāfir 40:27)

Hikmah Beriman Hari Kiamat

Keadaan Hari Kiamat sangat dahsyat sekali. Hal itu sebagaimana digambarkan dalam Al‑Qur'an:

یَـٰۤأَیُّهَا ٱلنَّاسُ ٱتَّقُوا۟ رَبَّكُمۡۚ إِنَّ زَلۡزَلَةَ ٱلسَّاعَةِ شَیۡءٌ عَظِیمࣱ ١

Terjemahan: Wahai umat manusia, bertakwalah kepada Tuhan kamu! Sesungguhnya gempa hari Kiamat itu suatu perkara yang amat besar. (Surah al‑Hajj 22:1)

Sebagai contohnya: Bulan dan matahari berguguran dari langit. Sebagaimana firman Allah:

إِذَا زُلۡزِلَتِ ٱلۡأَرۡضُ زِلۡزَالَهَا ١ وَأَخۡرَجَتِ ٱلۡأَرۡضُ أَثۡقَالَهَا ٢ وَقَالَ ٱلۡإِنسَـٰنُ مَا لَهَا ٣

Terjemahan: Apabila bumi digegarkan dengan gegaran yang sedahysat‑dahysatnya. Serta bumi itu mengeluarkan segala isinya. Dan berkatalah manusia (dengan perasaan gerun): Apa yang sudah terjadi kepada bumi? (Surah al‑Zalzalah 99:1‑3)

Konteks tersebut, beriman dan menyakini kewujudan Hari Akhirat dan Kiamat membawa kesan dan faedah besar kepada manusia, khasnya dalam menjalani kehidupan di dunia ini.

Hikmat dan faedah beriman dengan Hari Kiamat atau Akhirat antara lain ialah:

1.    Beriman dengan Hari Akhirat dan pembalasan baik serta buruk atau syurga dan neraka menyedarkan manusia dan menginsafkan mereka supaya sentiasa bertakwa kepada Allah juga beramal saleh.

Hal itu, kerana mereka menyakini segala amalan dan perbuatan di dunia ini dicatat.

Seterusnya, ia akan dihitung pada Hari Akhirat di hadapan Allah sekaligus diberi pembalasan setimpal walaupun sebesar zarah. Sebagaimana dijelaskan menerusi firman Allah:

وَٱلۡوَزۡنُ یَوۡمَىِٕذٍ ٱلۡحَقُّۚ فَمَن ثَقُلَتۡ مَوَ ٰ⁠زِینُهُۥ فَأُو۟لَـٰۤىِٕكَ هُمُ ٱلۡمُفۡلِحُونَ ٨

Terjemahan: Dan timbangan amal pada hari itu adalah benar; maka sesiapa yang berat timbangan amalnya (yang baik), maka mereka itulah orang‑orang yang berjaya. (Surah Al‑Aʿrāf 7:8)

Sehubungan itu, Al‑Qur'an menjelaskan orang yang beriman dengan Hari Akhirat sahaja akan beramal saleh dan sentiasa melakukan kebaikan dan sekaligus menjauhi segala kemungkaran.

 

2.    Beriman dengan Hari Akhirat dan Kebangkitan memberi dorongan dan motivasi kepada seluruh umat manusia dan orang beriman khasnya supaya sentiasa melakukan amal kebajikan dan kebaikan, sekaligus menjauhi segala bentuk maksiat.

Sehubungan itu, manusia tidak akan lupa tanggungjawab dan fungsi utama mereka diutuskan ke dunia ini. Iaitu untuk mengabdikan diri kepada Allah sepenuhnya serta memakmurkan muka bumi ini.

Antara lain juga, manusia akan menyedari bahawa mereka mestilah mengutamakan bekalan dan urusan akhirat berbanding urusan dunia. Kerana kehidupan dunia sementara sahaja.

Iaitu sebagai tempat mencari bekalan untuk Hari Akhirat. Sebagaimana firman Allah:

فَمَا مَتَـٰعُ ٱلۡحَیَوٰةِ ٱلدُّنۡیَا فِی ٱلۡـَٔاخِرَةِ إِلَّا قَلِیلٌ ٣٨

Terjemahan: Kerana kesenangan hidup di dunia ini hanya sedikit jua berbanding dengan (kesenangan hidup) di akhirat kelak. (Surah al‑Tawbah 9:38)

 

3.    Beriman dengan Hari Akhirat supaya manusia berfikir dan berkeyakinan bahawa akal dan pemikiran serta pancaindera mereka amat terhad dan terbatas sekali.

Walau setinggi mana ilmu manusia, mereka tidak dapat mengkaji dan menyelami hakikat hari tersebut.

Hal itulah menyebabkan orang kafir menolak kewujudan Hari Kiamat dan Akhirat. Iaitu mereka berfikir berdasarkan logik akal.

Sebagai contohnya: Tulang yang sudah reput itu tidak mungkin dihidupkan semula dan tidak ada seseorang pun yang telah mati hidup semula. Sebagaimana firman Allah:

أَءِذَا مِتۡنَا وَكُنَّا تُرَابࣰاۖ ذَ ٰ⁠لِكَ رَجۡعُۢ بَعِیدࣱ ٣

Terjemahan: Adakah (kita akan kembali hidup) sesudah kita mati dan menjadi tanah? Itu adalah cara kembali yang jauh (dari kemungkinan, kerana jasad yang telah hancur tidak dapat diketahui lagi). (Surah Qāf 50:3)

Mahsyar

[Sila rujuk Modul Pembelajaran Ilmu Tauhid; Program TVET Pengurusan Masjid m/s 63]

Mizan

Mizan sudut bahasa membawa erti: Terkenal atau diketahui. Mizan sudut istilah sebagaimana disepakati oleh jumhur ulama ialah: Suatu alat yang dijadikan oleh Allah untuk menimbang atau sebagai neraca timbangan amalan manusia, sama ada baik dan buruk.

Mizan atau timbangan amalan dilakukan dan berlangsung selepas Hisab dan penerimaan buku catatan amalan.

Antara dalil membuktikan kewujudan dan wajib beriman dengannya, sebagaimana firman Allah:

وَنَضَعُ ٱلۡمَوَ ٰ⁠زِینَ ٱلۡقِسۡطَ لِیَوۡمِ ٱلۡقِیَـٰمَةِ فَلَا تُظۡلَمُ نَفۡسࣱ شَیۡـࣰٔاۖ … ٤٧

Terjemahan: Dan (ingatlah) Kami akan mengadakan neraca timbangan yang adil untuk (menimbang amal makhluk‑makhluk pada) hari kiamat; maka tidak ada diri sesiapa akan teraniaya sedikitpun … [Surah Al‑Anbiyāʾ: 47]

Segala amalan yang dihisab atau dihitung seterusnya akan ditimbang pula. Hal itu, untuk membuktikan kesempurnaan, kekuasaan, perancangan rapi serta keadilan Allah, sama ada ia amal kecil atau besar, zahir atau batin.

Justeru, kesudahan seseorang berdasarkan timbangan amal tersebut. Jika berat timbangan amalan baik, dia akan bahagia.

Sebaliknya, jika berat timbangan amalan buruknya, dia kalangan orang celaka. Sebagaimana firman Allah:

فَمَن ثَقُلَتۡ مَوَ ٰ⁠زِینُهُۥ فَأُو۟لَـٰۤىِٕكَ هُمُ ٱلۡمُفۡلِحُونَ ١٠٢ وَمَنۡ خَفَّتۡ مَوَ ٰ⁠زِینُهُۥ فَأُو۟لَـٰۤىِٕكَ ٱلَّذِینَ خَسِرُوۤا۟ أَنفُسَهُمۡ فِی جَهَنَّمَ خَـٰلِدُونَ ١٠٣

Terjemahan: Maka sesiapa yang berat timbangan amal baiknya, maka mereka itulah orang‑orang yang berjaya. Dan sesiapa yang ringan timbangan amal baiknya, maka merekalah orang‑orang yang merugikan dirinya sendiri; mereka kekal di dalam neraka Jahanam. [Surah al‑Muʾminūn: 102‑103]

Sirat

[Sila rujuk Modul Pembelajaran Ilmu Tauhid; Program TVET Pengurusan Masjid m/s 71]

Syurga

Syurga merupakan taman dan tempat penuh nikmat. Ia disediakan kepada orang benar‑benar beriman serta beramal saleh, seperti: Berjuang pada Jalan Allah. Sebagaimana firman Allah:

۞ إِنَّ ٱللَّهَ ٱشۡتَرَىٰ مِنَ ٱلۡمُؤۡمِنِینَ أَنفُسَهُمۡ وَأَمۡوَ ٰ⁠لَهُم بِأَنَّ لَهُمُ ٱلۡجَنَّةَۚ یُقَـٰتِلُونَ فِی سَبِیلِ ٱللَّهِ … ١١١

Terjemahan: Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang‑ orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh syurga, (disebabkan) mereka berjuang pada jalan Allah. (Surah at‑Tawbah 9:111)

Golongan Ahli al‑Sunnah sepakat mengatakan syurga sudah ada sekarang.

Sebaliknya pula, golongan Jahmiah serta segolongan Qadariah berpendapat serta mengatakan ia belum wujud lagi. Menurut mereka: Nabi Adam pernah berada di syurga, sebenarnya satu taman di antara taman‑taman di dunia.

Seterusnya, prinsip pegangan Ahli al‑Sunnah: Manusia dapat memasuki syurga dengan rahmat dan kasih sayang Allah, bukan dengan amal ibadat atau ketaatan yang mereka lakukan.

Hal itu, kerana jika dibandingkan ibadat manusia dengan nikmat yang dikurniakan oleh Allah terhadap mereka memang tidak terkira dan tak seimbang.

Ahli syurga akan menikmati dan berada di dalamnya buat selama‑lamanya serta dengan kenikmatan tidak dapat digambarkan. Sebagaimana hadith daripada Abu Hurairah:

أَعْدَدْتُ لِعِبَادِي الصَّالِحِينَ مَا لَا عَيْنٌ رَأَتْ، وَلَا أُذُنٌ سَمِعَتْ، وَلَا خَطَرَ عَلَى قَلْبِ بَشَرٍ

Maksud: Aku sediakan (di syurga) untuk hamba‑Ku yang soleh apa yang belum pernah dilihat dengan mata dan tidak pernah didengar dengan telinga dan tidak pernah terlintas di hati. (al‑Bukhari, Bad' al‑Khalq:3023)

Erti kata lain, terdapat di dalam syurga berbagai jenis nikmat berbentuk makanan dan minuman, seperti: Sungai daripada susu, arak, manisan dan lainnya. Sebagaimana firman Allah:

مَّثَلُ ٱلۡجَنَّةِ ٱلَّتِی وُعِدَ ٱلۡمُتَّقُونَۖ فِیهَاۤ أَنۡهَـٰرࣱ مِّن مَّاۤءٍ غَیۡرِ ءَاسِنࣲ وَأَنۡهَـٰرࣱ مِّن لَّبَنࣲ لَّمۡ یَتَغَیَّرۡ طَعۡمُهُۥ

وَأَنۡهَـٰرࣱ مِّنۡ خَمۡرࣲ لَّذَّةࣲ لِّلشَّـٰرِبِینَ وَأَنۡهَـٰرࣱ مِّنۡ عَسَلࣲ مُّصَفࣰّىۖ … ١٥

Terjemahan: Sifat syurga yang telah dijanjikan kepada orang‑orang yang bertakwa (ialah seperti berikut): Ada padanya beberapa sungai dari air yang tidak berubah (rasa dan baunya), dan beberapa sungai dari susu yang tidak berubah rasanya, serta beberapa sungai dari arak yang lazat bagi orang‑orang yang mmeminumnya dan juga beberapa sungai dari madu yang suci bersih. (Surah Muḥammad 47:15)

Selain itu, disediakan di dalam syurga nanti buah‑buahan berbagai jenis serta sentiasa bertukar rasa walaupun rupanya sama juga daging burung yang lazat. Sebagaimana firman Allah:

وَفَـٰكِهَةࣲ مِّمَّا یَتَخَیَّرُونَ ٢٠ وَلَحۡمِ طَیۡرࣲ مِّمَّا یَشۡتَهُونَ ٢١

Terjemahan: Dan juga (dibawakan kepada mereka) buah‑buahan dari jenis‑jenis yang mereka pilih, serta daging burung dari jenis‑jenis yang mereka ingini. (Surah al‑Wāqiʿah 56:20 dan 21)

Segala bekas makanan dan minuman, seperti: Gelas, pinggan, mangkuk serta sudu dan lainnya diperbuat daripada emas, perak dan berbagai permata yang indah.

Semuanya disediakan untuk ahli syurga. Sebagaimana firman‑Nya:

وَیُطَافُ عَلَیۡهِم بِـَٔانِیَةࣲ مِّن فِضَّةࣲ وَأَكۡوَابࣲ كَانَتۡ قَوَارِیرَا۠ ١٥ قَوَارِیرَا۟ مِن فِضَّةࣲ قَدَّرُوهَا تَقۡدِیرࣰا ١٦

Terjemahan: Dan (selain itu) diedarkan kepada mereka (oleh pelayan‑pelayannya): Mangkuk dari perak dan gelas‑gelas minuman yang keadaannya laksana kaca (nampak jelas isinya). (Keadaannya laksana) kaca (sedang ia) dari perak. (Surah al‑Insān 76:15 dan 16)

Neraka

Orang yang derhaka kepada Allah akan mendapat siksaan. Selaras usaha, ikhtiar juga pilihan mereka dan atas sifat adil Allah.

Antara lain juga, mereka mempunyai akal waras serta diutuskan rasul yang membawa pengajaran benar. Justeru, Allah tidak zalim, bahkan mereka yang menzalimi diri sendiri.

Jumhur Ahli al‑Sunnah berkeyakinan dan berpegang kepada akidah bahawa orang derhaka dan kafir memasuki neraka sebab: Usaha, ikhtiar, pilihan mereka juga berdasarkan keadilan Allah.

Justeru, golongan yang menderhaka dan kufur ingkar akan yakin pada Hari Kiamat nanti apa yang mereka terima: Iaitu akibat buruk perbuatan jahat mereka sewaktu di dunia.

Namun, waktu itu segala‑galanya tidak berguna lagi. Sebagaimana firman Allah:

وَرَءَا ٱلۡمُجۡرِمُونَ ٱلنَّارَ فَظَنُّوۤا۟ أَنَّهُم مُّوَاقِعُوهَا وَلَمۡ یَجِدُوا۟ عَنۡهَا مَصۡرِفࣰا ٥٣

Terjemahan: Dan orang‑orang yang berdosa itu tetap akan melihat neraka, maka yakinlah mereka, bahawa mereka akan jatuh ke dalamnya dan mereka tidak akan mendapati sebarang jalan untuk mengelakkan diri daripadanya. (Surah al‑Kahfi 18:53)

Ulama Ahli al‑Sunnah juga sepakat mengatakan neraka sudah ada. Baginda SAW telah ditunjukkan bagaimana siksaan dialami oleh ahli neraka.

Antara dalil membuktikan kewujudan neraka serta sifat neraka. Sebagaimana firman Allah:

مِّن وَرَاۤىِٕهِۦ جَهَنَّمُ وَیُسۡقَىٰ مِن مَّاۤءࣲ صَدِیدࣲ ١٦

Terjemahan: Di hadapannya ada jahanam dan dia akan diberi minuman dengan air nanah. (Surah Ibrāhīm 14:16)

Konteks selanjutnya, menurut pegangan Ahli al‑Sunnah, orang beriman yang melakukan dosa besar serta tidak bertaubat tidak kekal di dalam neraka. Mereka akhirnya akan keluar dari neraka setelah disiksa.

Oleh itu, orang beriman atau memiliki iman walaupun seberat zarah dalam hatinya, tidak akan kekal di dalam neraka buat selama‑lamanya.

Ulasan