Ego


Pengalaman hidupku telah banyak mengajarku mengenali dan memahami kepelbagaian sikap manusia. Tetapi terdapat satu pengalaman yang telah memberi impak atau dengan kata lain mengajarku tentang erti satu istilah iaitu ego.

Sifat ego sangat berbahaya kerana dengannya boleh menjadikan seseorang individu itu bongkak, berlagak, berasakan bahawa dirinya sahaja yang betul. Maka sifat ego menjadi antara penghalang utama dalam membentuk peribadi seseorang muslim. Sejarah telah menterjemahkan kesan sifat ego kepada peribadi seseorang. Sebagai contoh kufurnya iblis disebabkan egonya.
Iblis senantiasa merasakan dirinya lebih hebat dan merasakan tidak sesekali layak untuk sujud hormat kepada Nabi Adam (A.S). Sebelum Nabi Adam dicipta, Iblis yang pada waktu itu bergelar ‘Azazil, berperanan sebagai ketua kepada para malaikat. Kedudukannya sudah cukup mulia pada ketika itu. Akan tetapi keengganannya telah menyebabkan dia dihina dan dilaknat selagi mana dia terus enggan.

Dalam konteks masyarakat sekarang, ego seorang pemimpin boleh mengundang kebencian rakyat, ego pendakwah menyebabkan orang yang hendak didakwah lari, ego sahabat akan mengeruhkan silaturrahim. Sebagai seorang pelajar, kita perlu membuang sifat ego daripada lembaran hidup kita. Ibarat kita hendak menadah air dari pili, mana mungkin air akan tertadah jika meletakkan tangan lebih tinggi dari pili. Begitu juga ilmu yang ingin kita tadah tidak akan melekat dalam dada kita. Ini kerana ilmu itu tinggi dan mengangkat darjat seseorang yang berilmu sepertimana yang dijelaskan oleh Allah S.W.T dalam al-Quran yang bermaksud:

“ ...Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan ugama (dari kalangan kamu) - beberapa darjat. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang kamu lakukan” Almujadalah:11

Hati yang ingin disinari oleh cahaya tidak boleh memiliki sifat ego. Fikiran individu juga akan disempitkan dengan sifat ego. Bagaimana kita mahu berfikiran luas jika kita hanya memikirkan kepentingan diri? Seseorang tidak akan mengaku kesilapan kita jika ditegur kerana apa yang difikirkan oleh dia hanya kepentingan dirinya atau kemuliaan dirinya. Kenapa? Susah sangatkah hendak melafazkan kesilapan diri? Mulia sangatkah diri ini? Sesama manusia tiada perbezaan antara kita melainkan taqwa. Setiap orang punya kelemahan, dan kewajiban kita adalah dengan melengkapi antara satu sama lain. Itulah yang dinamakan manusia, diciptakan untuk melengkapi antara satu sama lain seperti yang telah disabdakan oleh Junjungan Besar kita baginda Rasul S.A.W. yang bermaksud:

“عن أبي موسى الأشعري رضي الله عنه قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : "المؤمن للمؤمن كالبنيان يَشُدُّ بعضُه بعضاً – وشبك بين أصابعه" متفق عليه.”
Maksudnya:Dari Abu Musa Al-Asya`ari r.a berkata:
"Seorang mukmin dengan mukmin yang lain umpama sebuah binaan, saling menguatkan antara satu sama lain."

Aku pernah bermustautin di sebuah rumah sewa yang diberinama Darul Islah Wat Ta’lim (D.I.W.T.) sewaktu aku berada di tingkatan 2. Disana juga banyak program didikan yang begitu memberi kesan diadakan setiap tahun. "Hah... kalau dah berasa besaq sangat, ntapa* pi jamban, ntapa beruih mangkuk jamban yang berkerak tu dgn beruih tangan. Biaq hilang ego ntapa tu..." terkenang kata-kata salah seorang senior yang pernah menjadi ketua D.I.W.T. dalam sebuah tazkirah yang desampaikan oleh beliau. Kata-kata ini sangat memberi kesan yang begitu mendalam dalam diriku. Sehingga kini kata-kata 'hikmat' itu terus terpahat dalam mindaku umpama satu ukiran yang terukir abadi dalam ingatan. Apa yang dicadangkan oleh beliau bukanlah satu-satunya kaedah membasmi sifat ego. Akan tetapi ini memberi gambaran bahawa kita perlu memaksa diri kita melakukan perkara yang tidak selesa dilakukan untuk mengubati sifat ini. Sebagai contoh mengaku salah dan memohon maaf bukanlah perkara yang mudah dilakukan egois. Kita imbas kembali bagaimana Imam Ghazali membuang keegoan yang ada pada beliau. Beliau telah disuruh oleh guru adiknya untuk menyiram jalan agar lembap dan tidak menerbangkan debu apabila kereta kuda melewati jalan tersebut setiap hari sehingga egonya hilang.

Oleh itu, keegoan boleh diubati. Ini kerana setiap penyakit hati ada penawarnya yang tersendiri dan penawar yang paling unggul ialah kalam Allah. Insya Allah barangsiapa yang melazimi al-Quran akan terang hatinya, serta bersuluh tingkah lakunya.

Ulasan

Catatan Popular