Sejarah Ringkas Batu Bersurat Terengganu
Batu bersurat ditemui dalam keadaan bahagian atasnya telah patah, tanpa menyedari tentang maklumat yang termaktub pada batu ini, para penduduk telah menggunakannya sebagai alas untuk membasuh kaki sebelum naik ke tangga Surau Kampung Buloh.
Kemudian pada tahun 1902, seorang ahli perniagaan yang bernama, Syed Husin bin Ghulam al-Bukhari, telah mendapati terdapat tulisan pada batu tersebut lalu beliau meminta Penghulu Ali dan orang kampung untuk mengangkat dan meletakkan batu tersebut di atas rakit untuk dibawa ke Kuala Terengganu. Setelah itu, batu ini dipersembahkan kepada Sultan Zainal Abidin III dan baginda menitahkan agar batu ini diletakkan di atas bukit puteri.
Kemudian pada tahun 1922, Timbalan Penasihat British di Terengganu H. S. Peterson telah meminta seorang jurugambar Jepun, N. Suzuki untuk mengambil gambar dan dihantar kepada C. O. Blegden untuk dibuat pembacaan. Maklumat pada batu ini ditulis dalam bahasa melayu dengan tulisan jawi yang bertarikh 702 H.
Tulisan Jawi pada batu ini menerangkan Islam sebagai agama rasmi dan hukum-hukum islam mengenai perbuatan zina dan kenyataan-kenyataan palsu beserta dengan hukuman mengikut taraf seseorang.
Pada tahun 1923, batu ini telah dihantar ke Muzium Singapura dengan jalan pinjaman. Setelah Muzium Negara siap dibina, batu tersebut telah dibawa ke Kuala Lumpur sebagai pinjaman dari Muzium Raffles, Singapura,
Pada 12 Februari 1987, Kerajaan Negeri Terengganu telah menulis kepada Jabatan Muzium menyatakan hasrat untuk mendapat kembali Batu Bersurat tersebut untuk dijadikan pameran di Muzium Negeri terengganu. Pada tahun 1991, jemaah menteri telah memutuskan supaya Batu Bersurat dipulangkan kepada Kerajaan Negeri Terengganu.
Pada 6 Julai, Jam 0930, suatu upacara penyerahan kembali Batu Bersurat kepada Kerajaan Negeri Terengganu telah berlangsung di Dewan Perjanjian, Tingkat 18, Wisma Darul Iman antara Kerajaan Persekutuan yang diwakili oleh Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan, En. Ismail bin Adam dengan Kerajaan Negeri Terengganu yang diwakili oleh YAB Dato' Seri Amar Di Raja Tan Sri Haji Wan Mokhtar bin Ahmad, Menteri Besar Terengganu.
Batu ini merupakan sebuah peringatan berbahasa melayu yang terawal dijumpai di Semenanjung Malaysia dan berkaitan dengan pengisytiharan Islam sebagai agama rasmi serta penguatkuasaan undang-undang Islam.
Sumber: Muzium Negeri Terengganu
Ulasan
Catat Ulasan